Sabtu, 23 Februari 2013


Junaid Al-Baghdadi: Ulama Sufi Yang Bertasauf Mengikuti Sunnah

Junaid Al-Baghdadi (maqamnya gambar di sebelah)adalah seorang ulama sufi dan wali 
Allah yang paling menonjol namanya di kalangan ahli-ahli sufi. Tahun kelahiran Imam 
Junaid tidak dapat dipastikan. Tidak banyak dapat ditemui tahun kelahiran beliau pada
biografi lainnya. Beliau adalah orang yang terawal menyusun dan memperbahaskan 
tentang ilmu tasauf dengan ijtihadnya. Banyak kitab-kitab yang menerangkan tentang 
ilmu tasauf berdasarkan kepada ijtihad Imam Junaid Al-Baghdadi. 

Imam Junaid adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya. Beliau memiliki sebuah gedung
perniagaan di kota Baghdad yang ramai pelanggannya. Sebagai seorang guru sufi, beliau 
tidaklah disibukkan dengan menguruskan perniagaannya sebagaimana sesetengah 
peniaga lain yang kaya raya di Baghdad. Waktu perniagaannya sering disingkatkan 
seketika kerana lebih mengutamakan pengajian anak-anak muridnya yang dahagakan 
ilmu pengetahuan. Apa yang mengkagumkan ialah Imam Junaid akan menutup kedainya 
setelah selesai mengajar murid-muridnya. Kemudian beliau balik ke rumah untuk 
beribadat seperti solat, membaca al-Quran dan berzikir. Setiap malam beliau berada 
di masjid besar Baghdad untuk menyampaikan kuliahnya. Ramai penduduk Baghdad 
datang masjid untuk mendengar kuliahnya sehingga penuh sesak.

Imam Junaid hidup dalam keadaan zuhud. Beliau redha dan bersyukur kepada Allah SWT 
dengan segala nikmat yang dikurniakan kepadanya. Beliau tidak pernah berangan-angan 
untuk mencari kekayaan duniawi dari sumber pekerjaannya sebagai peniaga. Beliau akan 
membahagi-bahagikan sebahagian dari keuntungan perniagaannya kepada golongan fakir
miskin, peminta dan orang-orang tua yang lemah.

Bertasauf Ikut Sunnah Rasulullah saw

Imam Junaid seorang yang berpegang kuat kepada al-Quran dan as-Sunnah. Beliau 
sentiasa merujuk kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah saw dalam setiap pengajiannya.


Beliau pernah berkata:
"Setiap jalan tertutup, kecuali bagi mereka yang sentiasa mengikuti perjalanan Rasulullah 
saw. Sesiapa yang tidak menghafal al-Quran, tidak menulis hadis-hadis, tidak boleh 
dijadikan ikutan dalam bidang tasauf ini."

Memiliki Beberapa Kelebihan dan Karamah

Imam Junaid mempunyai beberapa kelebihan dan karamah. Antaranya ialah berpengaruh kuat setiap kali menyampaikan kuliahnya. Kehadiran murid-muridnya di masjid, bukan saja terdiri daripada orang-orang biasa malah semua golongan meminatinya. Masjid-masjid sering dipenuhi oleh ahli-ahli falsafah, ahli kalam, ahli fekah, ahli politik dan sebagainya. Namun begitu, beliau tidak pernah angkuh dan bangga diri dengan kelebihan tersebut. 

Diuji Dengan Seorang Wanita Cantik

Setiap insan yang ingin mencapai keredhaan Allah selalunya menerima ujian dan cabaran. Imam Junaid menerima ujian daripada beberapa orang musuhnya setelah pengaruhnya meluas. Mereka telah membuat fitnah untuk menjatuhkan imej Imam Junaid. Musuh-musuhnya telah bekerja keras menghasut khalifah di masa itu agar membenci Imam Junaid. Namun usaha mereka untuk menjatuh
kan kemasyhuran Imam Junaid tidak berhasil. Musuh-musuhnya berusaha berbuat 
sesuatu yang boleh memalukan Imam Junaid. Pada suatu hari, mereka menyuruh 
seorang wanita cantik untuk memikat Imam Junaid. Wanita itu pun mendekati Imam 
Junaid yang sedang tekun beribadat. Ia mengajak Imam Junaid agar melakukan 

























perbuatan terkutuk.

Namun wanita cantik itu hanya dikecewakan oleh Imam Junaid yang sedikitpun tidak mengangkat kepalanya. Imam Junaid meminta pertolongan dari Allah agar terhindar daripada godaan wanita itu. Beliau tidak suka ibadahnya diganggu oleh sesiapa. Beliau melepaskan satu hembusan nafasnya ke wajah wanita itu sambil membaca kalimah Lailahailallah. Dengan takdir Tuhan, wanita cantik itu rebah ke bumi dan mati.

Khalifah yang mendapat tahu kematian wanita itu telah memarahi Imam Junaid kerana menganggapnya sebagai suatu perbuatan jenayah.

Lalu khalifah memanggil Imam Junaid untuk memberikan penjelasan di atas perbuatannya. "Mengapa engkau telah membunuh wanita ini?" tanya khalifah.

"Saya bukan pembunuhnya. Bagaimana pula dengan keadaan tuan yang diamanahkan sebagai pemimpin untuk melindungi kami, tetapi tuan berusaha untuk meruntuhkan amalan yang telah kami lakukan selama 40 tahun," jawab Imam Junaid.

Wafatnya

Akhirnya kekasih Allah itu telah menyahut panggilan Ilahi pada 297 Hijrah. Imam Junaid telah wafat di sisi As-Syibli, seorang daripada muridnya. Ketika sahabat-sahabatnya hendak mengajar kalimat tauhid, tiba-tiba Imam Junaid membuka matanya dan berkata, "Demi Allah, aku tidak pernah melupakan kalimat itu sejak lidahku pandai berkata-kata."


Tidak ada komentar:

Posting Komentar